Makan · Jalan · Aktiviti
Makan, tempat menarik & aktiviti
Aktiviti · Selangor

Skyline Luge KL: 9 Perkara Perlu Tahu, Termasuk Zipline HyFly

Luge tanpa enjin di empat trek, zipline kabel-ke-rel HyFly sepanjang 380 meter dan terjun bebas 15 meter, semuanya di lereng bukit Gamuda Gardens, Rawang.

Skyline Luge KL

Skyline Luge Kuala Lumpur terletak di Gamuda Gardens, Rawang, sekitar 30 hingga 45 minit memandu dari pusat bandar bergantung pada trafik. Dibuka pada 2023, ia dikendalikan oleh Skyline dari New Zealand, syarikat yang sama di sebalik luge terkenal di Rotorua dan Queenstown. Video kami tentang tempat ini mencecah lebih sejuta tontonan, jadi kami himpunkan perkara yang patut korang tahu sebelum datang.

Perjalanan bermula dengan Skyride, kerusi gantung yang membawa pengunjung ke stesen atas dalam masa kurang tiga minit. Bagi kami yang tidak gayat ia terasa santai, dan yang takut tinggi pun masih boleh bertahan. Dari puncak, korang pilih satu daripada empat trek luge sepanjang 200 hingga 555 meter, termasuk terowong sepanjang lebih 160 meter. Kereta luge tiada enjin; brek dan selekoh dikawal sendiri, dan paling seronok bila berlumba dengan kawan.

Tarikan terbaru ialah HyFly, yang diperkenalkan sebagai zipline kabel-ke-rel pertama di Asia. Laluannya 380 meter dengan selekoh tajam dan pusingan lingkaran, dan kelajuannya boleh mencecah 60 km/j. Untuk turun, ada pilihan terjun bebas setinggi 15 meter atau tangga. Bagi kami, terjunan inilah bahagian paling mendebarkan walaupun nampak pendek dari bawah.

Bab keselamatan, helmet dan abah-abah disediakan dan staf memeriksa setiap peserta satu per satu sebelum bermula. Peraturan merakam pula sangat tegas. Semasa kami datang, telefon wajib diikat dengan tali, manakala FAQ rasmi menyatakan hanya kamera aksi yang dipasang pada pergelangan, dada atau helmet dibenarkan di atas luge dan HyFly. Gambar dan video juga dirakam secara automatik dan boleh diambil di kios pada hari yang sama.

Kami cadangkan datang dari jam 5 petang hingga malam, apabila cuaca lebih redup dan lampu di sepanjang trek mula menyala. Tempat ini mesra keluarga; kanak-kanak setinggi 110 cm boleh menunggang sendiri, manakala yang lebih kecil boleh menumpang bersama orang dewasa.

Tip

  • Tutup setiap hari Rabu. Datang selepas 5 petang untuk cuaca lebih redup dan pemandangan lampu malam.
  • Semak peraturan rakaman di kaunter; kamera aksi yang diikat ke badan atau helmet paling selamat, dan telefon mesti bertali.
  • HyFly ada had berat 30–140 kg, manakala terjun bebas 40–120 kg; tangga disediakan bagi yang tidak mahu terjun.
  • Kanak-kanak bawah 110 cm perlu tiket tandem bersama orang dewasa; bawah 85 cm tidak dibenarkan menunggang.
Alamat
Jln Gamuda Luge Gardens, 48050 Rawang, Selangor
Waktu operasi
Khamis–Selasa, 10 pagi – 10 malam (tutup Rabu)
Harga
HyFly RM90 seorang; pakej luge + HyFly dari RM110

Tonton video FuyohhTV di TikTok